Archive for July, 2008

HORMATI KEDUA IBU BAPA DAN WARGA TUA .

MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata’ala di dunia mahupun di akhirat.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah An Nisaa’ ayat 36, tafsirnya:

 

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membangga diri.”

Berbuat baik terhadap kedua orang tua hukumnya adalah wajib kerana ia merupakan perintah Allah Subhanahu Wata’ala. Jika kita tidak berbuat baik terhadap keduanya maka kita melakukan dosa besar kerana melanggar perintah Allah Subhanahu Wata’ala. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Ahqaaf ayat 15, tafsirnya:

 

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”

Sesungguhnya terdapat banyak cara kita berbuat baik terhadap orang tua, contohnya kita wajib berlaku sopan dan hormat terhadap mereka, kita tidak dibolehkan bercakap kasar terhadap mereka, kita hendaklah memanggil mereka dengan suara yang lemah lembut dan panggilan yang menyenangkan, apabila mereka memanggil hendaklah kita mendatanginya serta menjawab pertanyaannya, apabila mereka meminta makanan atau pakaian, kita wajib menunaikannya, apabila mereka menyuruh berbuat sesuatu kita hendaklah melaksanakannya kecuali perkara yang dilarang oleh agama dan jangan sekali-kali lupa mendoakan mereka supaya Allah Subhanahu Wata’ala mengampunkan dosa-dosa mereka. Sebenarnya begitu tinggi keutamaan berbuat baik kepada kedua orang tua menurut ajaran agama Islam, sebagaimana Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah ditanyakan berkenaan hak kedua orang tua terhadap anaknya. Baginda menjawab: “Humma Jannatuka Wannaruka’’ (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah) maksudnya: Kedua mereka adalah yang menyebabkan engkau masuk Syurga iaitu jika engkau mentaati mereka atau menyebabkan engkau masuk Neraka iaitu jika engkau derhaka kepada mereka.”

Sebagai anak adalah wajib ke atas mereka menjaga ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi ibu bapa yang telah tua dan uzur yang tidak berupaya mengurus diri mereka sendiri. Dalam menghadapi situasi sedemikian sebagai seorang anak hendaklah bersabar melayani kerenah mereka, jangan mudah hilang sabar, melenting dan marah, kerana perbuatan demikian akan mengguris dan menyakiti hati mereka. Jika hati mereka terguris, itu bererti anak telah derhaka kepada mereka.

Salah satu tanda seorang anak tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah anak yang mengakibatkan kedua ibu bapa mereka menangis disebabkan perbuatan anak yang melukakan hati mereka. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radiallahuanhuma, beliau berkata, maksudnya:

“Menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Tuntutan berbuat baik, bukan terhad kepada ibu bapa sahaja bahkan termasuk juga warga tua, baik yang ada hubungan kekeluargaan ataupun tidak. Sesungguhnya warga tua juga mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan. Maka dalam hal ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan umatnya untuk menghormati orang tua dan menganjurkan untuk menjaga hak mereka.

Inilah sepatutnya yang kita lakukan terhadap ibu bapa dan orang-orang tua, iaitu dengan memberikan kasih sayang dan perhatian, memeduli keperluan dan kebajikan mereka serta menggembirakan hati mereka. Jangan sampai terjadi pengabaian ibu bapa dengan membiarkan mereka tinggal bersendirian dalam keadaan uzur dan memerlukan pemedulian dengan alasan-alasan sibuk, tidak ada masa, tidak ada sesiapa yang boleh diharapkan untuk mengurus dan sebagainya. Perlu diingat bahawa pengabaian itu adalah perbuatan derhaka yang boleh menyebabkan seorang itu masuk neraka.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat menyatakan bahawa di antara punca berlakunya pengabaian terhadap warga tua yang sudah tidak berupaya di negara ini ialah kerana malu untuk menjaga mereka yang menghadapi masalah fizikal dan mental dan terdapat juga yang tidak mahu menjaga mereka kerana membalas dendam terhadap kelakuan, peristiwa atau kisah lampau warga tua tersebut. Ada juga terdapat keluarga terdekat atau adik-beradik yang tidak mahu menjaga ibu bapa apatah lagi untuk menjaga saudara mereka yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak, ada juga yang tidak mahu dengan alasan ada tanggungan sendiri dan sumber kewangan yang tidak mencukupi untuk membiayai mereka. Ada pula anak-anak yang beririh-irihan untuk menjaga mereka, keadaan ini menyebabkan mereka jauh hati dan merelakan diri mereka tinggal keseorangan.

Apa yang lebih menyedihkan terdapat anak-anak yang mengambil kesempatan, meminta wang atau mengambil wang ibu bapa mereka sedangkan wang itulah sahaja yang mereka harapkan untuk belanja seharian dan kebanyakan ibu bapa berdiam diri demi mengelakkan pertengkaran dan mengelakkan diri tidak dipedulikan. Ada juga ibu bapa yang disuruh menjaga cucu padahal mereka sendiri tidak berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri. Mereka sendiri sebenarnya memerlukan penjagaan dan perhatian, namun disebabkan terlalu kasihkan anak, beban ditanggung juga tetapi dengan memendam rasa.

Menurut statistik dari Jabatan Pembangunan Masyarakat, sejak tahun 2000 hingga sekarang, jumlah warga emas yang dilaporkan tinggal sendirian ialah seramai sembilan orang, manakala yang menghadapi masalah penjagaan ialah seramai 21 orang. Walaupun jumlah tersebut masih kecil, pengabaian ibu bapa dan warga tua sepatutnya tidak berlaku. Perbuatan anak-anak seumpama ini sangat memalukan dan dikesali.

Kita jangan lupa bahawa kita tidak selama-lamanya muda. Tetapi akan melalui zaman tua. Maka pada ketika itulah kita akan merasakan apa yang orang tua pada masa ini rasakan. Inilah hasil dari tingkah laku yang kita lakukan kepada mereka. Jika kita tidak menghormati mereka, maka kita juga tidak akan dihormati, begitulah seterusnya.

Saudara-saudara sekalian, bayangkanlah kalau ibu bapa sanggup menjaga anak-anaknya yang ramai, kenapa pula kita tidak sanggup menjaga mereka, lebih-lebih lagi mereka yang sudah tua dan tidak berupaya menyara hidupnya sendiri.

Sebenarnya apa-apa pun yang kita lakukan atau korbankan belumlah cukup untuk membalas jasa ibu dan bapa. Masa mereka masih hidup inilah kesempatan untuk kita berbakti kepada mereka dengan sebaik-baiknya seperti memberi perhatian, pemedulian dan kasih sayang, menghulurkan wang ringgit dan begitu juga kita hendaklah selalu menziarahi ibu bapa yang tinggal berasingan dengan kita. Dan jika mereka sudah tiada, ziarahilah tanah perkuburan mereka dengan mendoakan keampunan dan kesejahteraan untuk mereka. Dan buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan diniatkan pahalanya untuk arwah ibu dan bapa.

Akhirnya, sama-samalah kita menghormati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa dan warga tua dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin. Janganlah kita mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka. Marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan mereka dan semoga mereka akan sentiasa mendapat perlindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Israa’ ayat 23 – 24, tafsirnya:

 

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil.”

 

posted by Mrs Fanor

Advertisements

July 1, 2008 at 3:27 pm 1 comment

10 cara membahagiakan ibu bapa

Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.

 Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

 Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.

1. Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

 2. Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

3. Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).

4. Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri.

Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.

5. Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.

Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah??

Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.

6. Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati. 

7. Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

8. Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

9. Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).

 Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.

 

 

 

 

posted by mrs fanor 

 

July 1, 2008 at 3:22 pm Leave a comment


Blog Stats

  • 17,692 hits

Recent Posts

Flickr Photos

July 2008
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031